Para hadirin sekalian,
Untuk maklumat delegasi semua, para pelajar Perak di Jordan telah mengikuti pembelajaran di universiti yang berlainan malah jarak antara satu universiti dengan universiti yang lain agak jauh. Oleh itu, bagi memastikan anak-anak Perak saling kenal-mengenali antara mereka, khususnya dalam menjaga anak negeri ini, maka tertubuhnya satu badan kebajikan anak negeri yang diberi nama Badan Kebajikan Anak Perak Jordan.
Hadirin hadirat yang dirahmati Allah Taala,
Insya-Allah, BKAPJ akan sedaya-upaya memastikan, agar kebajikan ahli-ahlinya terjaga dan berusaha mengadakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah bagi mengisi masa lapang ahli yang terluang. Justeru itu, BKAPJ sekaligus dapat membimbing ahli menjadi seorang pelajar yang mempunyai sifat insaniah yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat di samping memperolehi kecemerlangan dari sudut akademik, Insya-Allah.
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
Untuk memastikan kebajikan pelajaran anak-anak Perak lebih terjamin, saya mewakili anak-anak Perak di sini ingin mencadangkan kepada Majlis Agama Islam Perak (MAIPK) agar menimbangkan dengan lebih serius tentang kadar kenaikan bantuan dermasiswa dari RM 6000 kepada RM 8000. Di samping itu juga mengenai dengan bantuan tetap kepada persatuan di sini. Saya berharap agar pihak Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPK) dapat menyalurkan bantuan tetap tahunan kepada kami bagi membantu perjalanan program dan aktiviti tahunan dapat dijalankan dan diteruskan dengan jayanya. Selain itu juga, saya berharap agar selepas ini, hubungan dan kerjasama yang lebih erat dapat diteruskan antara pihak persatuan di sini dan Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan anak-anak Perak di sini lebih terjamin.
Hadirin hadirat sekalian,
Anak-anak perak di bumi Jordan memang selalu merindui lawatan sebegini dari delegasi-delegasi kehormat Malaysia khususnya delegasi-delegasi kehormat daripada Negeri Perak. Ini bagi memupuk semangat kasih sayang antara pemimpin dan rakyat khususnya kami di perantauan yang memang berhajat merisik khabar di tanah air tercinta. Dalam pepatah arab ada menyebut "ziarahlah jarang-jarang nescaya akan bertambah kasih sayang". Jadi pada malam ini membuktikan jalinan kasih sayang antara pemimpin dan rakyat telah tersemai. Alhamdulillah.
Para hadirin yang dirahmati Allah Taala,
Untuk menutup ucapan saya pada malam yang penuh barakah ini dan tidak lama lagi kita bakal menyambut Ramadhan Al-Mubarak, saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Dato' Dr. Abdul Rahman bin Hashim, setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Yang Amat Berbahagia Sohibus Samahah Tan Sri Harussani bin Zakaria, mufti Kerajaan Negeri Perak serta delegasi-delegasi Negeri Perak yang lain kerana sudi menjemput kami anak-anak Perak di perantauan dalam majlis yang penuh bermakna ini.
Tidak lupa juga diatas jasa baik dari Pihak Kedutaan Besar Malaysia Amman, Jordan , Pihak Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dan rakan-rakan seperjuangan di bumi jordan. Jutaan terima kasih sekali lagi untuk semua kerana berjaya mengadakan majlis ini. Buat akhirnya, saya ingin memohon kemaafan kepada hadirin sekalian andai kata ada terkasar bahasa dan kata-kata saya yang mengguris perasaan sebentar tadi. Semoga Bulan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi lebih baik dari ramadhan-ramadhan yang kita lalui sebelum ini. Sekian.
0 KOMENTAR:
Post a Comment